Thursday, May 21, 2009

isteri / isteri-isteri

“Bang ni balik je kerja, tak nak langsung tolong saya siapkan kerja rumah. Baca surat khabar, menghadap televisyen (TV), itu jelah yang awak tahu. Kitakan sama-sama bekerja bang. Saya pun penat macam abang juga.

“Sekurang-kurangnya, buatlah air kopi sendiri. Bukannya susah pun, tukarkan lampin anak ke, ringan sikit kerja saya ni. Nak masak lagi. Abang juga yang nak makan nanti, pot, pet, pot, pet…,” leter Intan kepada suaminya sejurus kembali dari pejabat masing-masing.

Kalaulah Intan tahu, betapa besar hukuman serta dosanya meleteri suami sendiri, sudah tentu dia tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Lebih-lebih lagi, sekiranya Intan menghayati ganjaran pahala yang tidak ternilai kerana berbakti kepada suaminya, dia tidak akan merasa susah mahupun penat dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.

Dewasa ini, boleh dikatakan fenomena isteri meleteri suami atau dalam kata lain, tidak menghormati suami, bagaikan sudah menjadi satu perkara lumrah bagi kebanyakan pasangan, tanpa sedikitpun merasa bersalah melayani mereka seperti adik lelaki sahaja lagaknya.
Apa yang lebih mendukacitakan apabila ada di kalangan isteri yang menyifatkan, menjaga peribadinya dengan bersikap sopan terhadap suami sebagai ketinggalan zaman. Keadaan ini juga akan menjadi model yang tidak baik kepada anak-anak, yang mungkin diwarisi dari satu generasi ke satu generasi lain sehingga akhirnya menjadi satu budaya yang negatif.

Banyak nas al-Quran, terutamanya hadis Nabi yang membincangkan tentang kewajipan isteri mentaati suami, selagi tidak diminta melakukan perbuatan maksiat. Sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud:
“Jika sekiranya aku berhak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh para isteri sujud kepada suaminya.”
Hadis tersebut menerangkan betapa kepatuhan isteri terhadap suami amat diutamakan demi kebaikan sesebuah institusi keluarga, sesuai kedudukannya sebagai pemimpin rumah tangga.
Demikian juga halnya ketika junjungan besar Nabi Muhammad s. a. w. mikraj ke langit. Baginda telah dipersaksikan dengan neraka dan penghuninya yang kebanyakannya terdiri daripada kaum wanita.

Ali Karramallahu Wajhah berkata: “Aku masuk ke rumah nabi beserta Fatimah, aku mendapati baginda sedang menangis tersedu-sedan. Aku bertanya, “hai Rasulullah, apa yang membuat anda menangis?” Baginda menjawab, “hai Ali, pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat kaum perempuan daripada umatku disiksa di neraka dengan bermacam-macam seksaan. Lalu aku menangis kerana begitu berat seksaan mereka yang aku lihat.”

Mengherdik

Baginda antara lain melihat perempuan yang digantungkan dengan lidahnya, sedangkan air panas dituangkan ke dalam tenggoroknya kerana ia telah menyakiti dan menyumpah-nyumpah suaminya. Ada isteri yang tergamak bercakap kasar malah mengherdik suaminya kerana tidak mendapat apa yang diminta seperti barang kemas, perabot rumah berupa set sofa dan TN rata 29 inci yang menjadi trend semasa.

Lebih buruk lagi perangai si isteri apabila membanding-bandingkan suami dengan jiran tetangga yang mampu menyediakan barangan terbabit, sekali gus dilabelkan sebagai suami mithali. Bukan tidak boleh sama sekali meminta sesuatu daripada suami tetapi janganlah menggesa mereka menuruti kemahuan anda sehingga membebankan.

Sebaliknya, isteri patut bersyukur kerana berpeluang meraih keredhaan Allah. Nabi Muhammad s. a. w. bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya.” Hal ini biasa terjadi kepada suami yang miskin, manakala isterinya pula tergolong dalam orang-orang berada, yang suka mengungkit-ungkit mengenai hartanya, apatah lagi yang telah dinafkahkan kepada suaminya.

Islam juga mengajar isteri agar melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh, mengasuh anak-anak, melayani kehendak suami dan sebagainya dengan penuh rela dan tabah hati. Mungkin ia agak sukar untuk dipenuhi apatah lagi bagi isteri yang bekerja, namun, percayalah, ia bukan sahaja akan menjadi perkara biasa tetapi juga ringan dan lancar, jika kita menganggapnya sebagai ibadah dan juga satu jihad.

Marilah kita sama-sama merenungi kisah anakanda kesayangan Nabi Muhammad s. a. w. iaitu Fatimah Az-Zahra yang melaksanakan rutin hariannya sebagai seorang suri rumah tangga secara sendirian tanpa pembantu. Fatimah pada suatu hari telah meminta suaminya, Ali pergi menemui Rasulullah s. a. w. dan meminta jasa baik baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan perang sebagai pembantu rumah.

Rasulullah bagaimanapun tidak dapat memperkenankan permintaan puterinya kerana semua harta rampasan perang termasuk wanita-wanita itu tidak menjadi milik baginda, tetapi milik negara Islam dan kaum Muslimin seluruhnya. Baginda tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi miliknya.

Permintaan Fatimah itu membimbangkan baginda, bukan kerana tugas berat yang sedang dipikul oleh puterinya itu tetapi disebabkan oleh bayangan keluh kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu dibereskannya.

Pada sebelah malamnya, baginda telah mengunjungi rumah Fatimah dan menyatakan kepadanya: “Apakah kamu berdua (Fatimah dan Ali) suka kepada satu pemberian yang akan kuberikan ini, sedangkan ia lebih baik daripada apa yang kamu minta siang hari tadi?”
Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut sekalipun dia tidak mengetahui apa bentuknya. Rasulullah menyatakan kepada Fatimah bahawa hendaklah dia membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar, masing-masing sebanyak 33 kali setiap kali sebelum tidurnya.

Semenjak itu, wirid yang diajarkan oleh Rasulullah telah menjadi amalan anak dan menantunya. Hasilnya, Fatimah mendapati dia tidak lagi menjadi keluh kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang berat, malah merasa cukup bahagia melakukannya.

Baginya, segala tugasan yang disempurnakannya sebagai seorang suri rumah merupakan satu amalan yang solehah. Dengan taufik Allah, sesungguhnya, walau seberat mana sekalipun tugasan yang menanti di rumah, tidak akan memenatkan selagi isteri tidak meletakkan dirinya seolah-olah sama taraf dengan suami, walau setinggi mana sekalipun darjatnya.

------------------------------------------------------------------------------------------------


Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Umar r.a., Rasulullah sallallahualaihi-wasallam bersabda :
“Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu ialah perempuan yang solehah.”
Dalam sebuah hadis yang Rasulullah sallallahualaihi wasallam bersabda:
“Mahukah kamu aku beritahu dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seorang lelaki?” Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira , jika suaminya menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya.”
(HR:Ibnu Majah)

Isteri yang solehah itu selalu memerhatikan akan tanggungjawabnya sebagai isteri, ia hanya berbuat sesuai dengan ketentuan Allah. Di antara ciri-ciri isteri solehah itu ialah bertanggungjawab terhadap kerja-kerjanya.

Pada dasarnya kewajipan isteri solehah itu ialah:

1. Patuh dan taat kepada suami yang soleh

Rumahtangga bahagia sebenarnya terletak pada isteri yang solehah. Ia taat kepada perintah Allah dan Rasul serta setia kepada suami yang soleh.

“Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya ) di belakang
suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka…” (Surah An-Nisa’:34)
Isteri yang solehah itu di samping patuh kepada perintah Allah dan Rasulullah sallallahualaihi-wasallam, ia patuh terhadap suaminya dan menyimpan segala rahsia baik diluar rumah mahupun di dalam rumah.

Ia selalu tersenyum dan menunjukkan muka manis terhadap suaminya. Tabiatnya yang baik itu menambah kasih sayang suaminya terhadapnya. Ia tidak pernah membantah kata-kata suaminya yag baik, semuanya dikerjakan dengan patuh kerana Allah. Isteri yang baik apabila berkata dengan suaminya dengan suara yang lemah lembut dan penuh kesopanan . Begitu pula tidak boleh memerintah kepada suami, kecuali diucapkan dengan suatu yang baik sebagai suatu pertolongan. Walau bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak dalam semua perkara. Sekiranya perintah suami boleh membawa dosa, maka isteri dibenarkan membantah.

Rasululllah bersabda,
“Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia,tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki keatas wanita”

2. Menguruskan rumahtangga

Seorang isteri Muslimah disuruh oleh Allah agar sentiasa berada dirumah dan tidak boleh pergi kemana-mana sesuka hati tanpa izin suami. Duduk dirumah bukan bererti hanya berdiam diri sahja tetapi mengerjakan tugas sebagai isteri. Hikmah daripada perintah Allah tersebut iaitu, supaya para isteri dapat menjaga dan mendidik anak secara lebih sempurna ketika suami mencari rezeki. Disamping itu isteri dapat melakukan pekerjaan rumah seperti menghias rumah dan sebagainya.Walaupun ianya nampak remeh, tetapi ianya amat bermanfaat untuk menjamin keharmonian keluarga.

3.Berhias untuk suami

Menghias diri merupakan kegemaran wanita. Namun kadangkala wanita yang tidak faham akan kewajipannya, ia berhias diri ketika akan keluar rumah. Tetapi ketika di rumah ia dalam keadaan tidak bersih, kadangkala ramutnya pun tidak terurus. Padahal di dalam Islam menganjurkan supaya isteri berhias hanya untuk suami. Tujuan isteri berhias ketika di rumah ialah supaya suami terhibur. Jika suami pulang dari tempat kerja dalam keadaan letih dengan melihat isteri dalam keadaan berseri-seri serta pakaian yang bersih, maka ia menjadi penawar kepada suami. Sehingga keletihan dalam mencari rezeki tadi menjadi hilang, dan bertambahlah kasih sayangnya terhadap isteri. menjadi hilang, dan bertambahlah kasih sayangnya terhadap isteri.

Sabda Rasulullah SAW:

“Dari Jabir ra. Ia berkata: Kami pernah pergi bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Bersabarlah, iaitu masuklah pada waktu malam iaitu selepas Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia dapat berhias kerana telah lama telah ditinggalkan suaminya.” (HR:Muttafaqun Alaihi)

Berhias bukan sahaja bagi menyambut kepulangan suami dari tempat kerja tetapi juga ketika suami ada di rumah. Wanita Islam hanya boleh berhias untuk dirinya sendiri dan untuk suaminya. Berhias mestilah dilakukan secara besederhana , kerana tujuan berhias agar ia kelihatan bersih dan senang dilihat oleh suami.

4. Melayani suami

Hubungan seks merupakan penawar kebahagiaan rumahtangga. Ia dipandang sebagai punca keharmonian rumahtangga. Oleh sebab itu isteri hendaklah memberikan layanan yang baik kepada suami dan tidak boleh menolak kemahuan suaminya . Seorang isteri akan dikutuk oleh malaikat apabila ia menolak kemahuan suaminya sehinggalah suaminya reda kepadanya. Mungkin dalam keadaan tertentu isteri boleh menolak kemahuan suaminya seperti dalam keadaan sekit, atau dalam keadaan yang dilarang oleh syara’ untuk melakukan persetubuhan seperti dalam keadaan haid dan sebagainya.

5. Berpakaian menurut ajaran Islam

Isteri yang menutup auratnya merupakan isteri yang solehah, ramai wanita pada zaman sekarang ini yang berpakaian tetapi telanjang kerana ia menutup bahaian tertentu sahaja, kalau menutup semua pun tetapi bentuk badannya tetap nampak jelas.

Allah SWT berfirman, ertinya:

“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk
menutupi auratmu dan pakaian indah sebagai perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah
yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda
kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah Al-A’raar:26)

Jilbab merupakan satu fesyen pakaian wanta Islam yang menutup tubuh atau sebahagian besar badan wanita di sebelah atas, kecuali muka dan tapak tangan. Jilbab tidak menampakkan tubuh badan. Allah memerintahkan supaya berpakaian demikian supaya dapat membezakan antara wanita beriman dan tidak beriman, ia juga supaya terhindar dari golongan munafik.

Firman Allah yang bermaksud:

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri- isterimu, anak-anak perempuanmu dan
isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengulurkan Jilbab mereka ke
seluruh tubuh mereka.”Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Penganmpun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Al-Ahzab:59)

6. Memberi motivasi terhadap cita-cita suami

Isteri yang solehah adalah isteri yang mahu menjadi teman berunding bagi suami dan menjadi sahabat dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Itulah hubungan suami isteri itu diertikan orang sebagai “teman hidup”.Jika suami menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya dan cita-cita keluarga maka bermotivasilah kepadanya dan hiburkanlah hatinya . Isteri teladan disamping ia memberi dorongan dan bermotivasi kepada suami ia juga merupakan sumber ilham bagi suami. Ini membuatkan hati suami tenteram apabila bersama isteri dan segala masalah dihadapinya bersama-sama. Di antara ciri-ciri isteri solehah yang lain ialah:

Mentaati Allah SWT dan mengerjakan segala perintah suami selagi tdak melanggar perintah Allah.

1. Bersikap malu terhadap suami.
2. Berdiam diri ketika suami sedang berkata-kata, baru berbicara setelah ia selesai berbicara.
3. Berdiri tegak sebagai tanda hormat semasa ia datang dan pergi.
4. Sentiasa menyerahkan diri kepadanya apabila ia memerlukannya.
5. Memakai wangi-wangian di hadapan suami.
6. Menjaga mulut daripada bau-bauan yang tidak menyenangkan.
7. Tidak mengkhianati dan berlaku curang terhadapnya ketika ketiadaan suami.
8. Sentiasa menghormati keluarga suami .
9. Bersyukur di atas apa yang disediakan oleh suami.
10. Tidak berpuasa sunat tanpa kebenaran suami.
11. Tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami.

------------------------------------------------------------------------------------------------

No comments:

Post a Comment